Syarat Wajib Puasa dan Syarat Sah Puasa

Sambungan daripada penetapan puasa Ramadhan

Syarat Wajib Puasa dan Syarat Sah Puasa

Puasa Ramadhan menjadi wajib apabila sempurnanya perkara berikut :

1. Islam – Puasa tidak wajib ke atas orang kafir dengan makna di dunia ini dia tidak dituntut untuk berpuasa kerana puasa adalah satu cabang kemasukannya ke dalam Islam. Selagimana dia tidak masuk islam maka dia tidak ada makna bagi puasanya dan tidak ada makna di dituntut untuk berpuasa.Adapun di akhirat, mereka akan disiksa kerana kekafirannya dan kerana dia meninggalkan cabang-cabang Islam.
2. Taklif – Maksud taklif ialah orang Islam itu telah berakal dan baligh. Sekiranya hilang salah satu daripada dua sifat ini maka jatuhlah daripadanya sifat taklif. Apabila jatuh sifat taklif maka dia tidak dituntut sedikitpun melaksanakan tugas-tugas keagamaan.
Dalilnya ialah hadis Ali r.a. bahawa Nabi SAW bersabda :

رفع القلم عن ثلاثة عن النائم حتى يستيقظ، وعن الصبي حتى يبلغ، وعن المجنون حتى يعقل

Diangkat qalam (tulisan amalan) daripada tiga jenis manusia : daripada orang tidur sehingga dia bangun, daripada kanak-kanak sehingga dia bermimpi (baligh) dan daripada orang gila sehinggalah dia berakal“. (Abu Daud (4403) dan selainnya).

3. Tiada keuzuran yang menghalangnya berpuasa ataupun Mengharuskanya Berbuka

3.1 Keuzuran yang menghalang daripada berpuasa ialah :

1. Berada di dalam keadaan haid atau nifas pada mana-mana bahagian waktu siang.

2. Pengsan atau gila sepanjang siang hari. Sekiranya dia sedar pada waktu siang walaupun satu saat, maka hilanglah keuzuran dan dia wajib menahan diri untuk baki hari tersebut.

3.2 Keuzuran yang mengharuskan berbuka ialah :

1. Sakit yang mendatangkan mudharat yang besar ataupun kesakitan dan kebimbangan yang amat dahsyat kepada orang yang berpuasa. Jika penyakitnya itu menjadi semakin teruk ataupun kesakitan itu semakin dahsyat (jika dia berpuasa), dan dia bimbang dia akan mati (sekiranya dia meneruskan puasanya), maja pada waktu itu dia wajib berbuka.

2. Musafir yang jauh tidak kurang daripada 83 km dengan syarat ia adalah pemusafiran yang dibenarkan dan mencakupi seluruh hari.

Mengenai seorang yang berpuasa, pada waktu paginya dia bermukim, kemudian dia bermusafir pada waktu siang, maka dia tidak dibenarkan berbuka.

Dalil kedua-dua penguzuran ini ialah firman Allah ;

وَمَن كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ

dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain“. (Al-Baqarah : 185)

3. Tidak mampu berpuasa. Oleh itu tidak wajib berpuasa disebabkan terlalu tua atau sakit yang tidak ada harapan untuk sembuh kerana puasa hanya wajib terhadap orang yang mampu melakukannya.

Dalilnya adalah firman Allah ;

وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ

dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin.” (Al-Baqarah : 184)

Dibacakan juga ‘Yutawwaqunahu’ yang bermaksud jika mereka tetap diwajibkan melakukannya (puasa), nescaya mereka tidak mampu melakukannya.

Ibnu Abbad r.a. berkata : Yang dimaksudkan ialah orang lelaki dan perempuan yang terlalu tua, keduanya tidak mampu untuk berpuasa, kedua-duanya hendaklah menggantikan setiap hari puasa dengan memberi makan seorang fakir miskin. Riwayat Bukhari (4235).

Syarat Sah Puasa

Syarat Sah Puasa ialah :

  1. Islam, tidak sah puasa orang kafir.
  2. Berakal yang bermaksud mumayyiz, tidak sah puasa orang gila dan kanak-kanak yang belum mumayyiz kerana mereka tidak memiliki niat. Puasa kanak-kanak yang sudah mumayyiz adalah sah. Apabila usianya mencapai 7 tahun, dia hendaklah diminta supaya berpuasa jika dia mampu melaksanakanya. Apabila usianya mencapai 10 tahun, dia hendaklah dipukul kerana meninggalkanya sebagaimana sembahyang.
  3. Tidak mempunyai keuzuran yang menghalangnya daripada berpuasa seperti berada dalam keadaan haid atau nifas, pengsan atau gila sepanjang hari.

Siap ditaip pada jam 8.17PM
Seberbay, Hari Khamis 13/8/09.