Peristiwa Israk Mikraj bukanlah satu peristiwa biasa. Peristiwa ini juga bukan hanya sekadar perjalanan yang dilakukan oleh Nabi Muhammad dengan tujuan untuk melihat alam semesta sahaja. Namun perjalanan israk mikraj tersebut mempunyai erti yang amat bermakna bagi kehidupan Nabi secara peribadi ataupun bagi umat islam seluruhnya.
Perjalanan ghaib ini mempunyai erti yang amat besar bagi kita untuk melihat kekuasaan Allah, pencipta alam semesta dan segala isinya. Kerana itulah mengabdikan perjalanan Israk dan Mikraj tersebut dalam dua surah, iaitu surah Al-Isra’ dan An-Najmi.
Perjalanan Israk dan Mikraj itu merupakan petanda bahawa risalah Islamiah yang dibawa oleh Nabi Muhammad bukan hanya untuk bangsa Arab sahaja. Namun risalah Islamiah tersebut umum buat seluruh umat manusia.
Perjalanan Israk dan Mikraj tersebut juga menjadi petanda betapa pentingnya tempat-tempat yang dikunjungi oleh nabi Muhammad bagi sejarah umat manusia. Kerana kawasan timur tengah memang sejak dulu banyak mempunyai erti penting bagi sejarah umat manusia.
Perjalanan Israk dan Mikraj merupakan petanda bahawa Nabi Muhammad bukanlah seorang pemimpin yang hanya memperjuangkan segolongan manusia sahaja. Namun beliau diutuskan untuk membawa risalah perbaikan bagi seluruh umat manusia. Kalau Nabi Muhammad hanya diutuskan untuk sekelompok manusia tertentu sahaja, pasti tidak perlu bagi Nabi Muhammad untuk diisra’kan yang harus menempuh perjalanan yang demikian jauh.
Memang Nabi Muhammad tidak dapat dibandingkan dengan pemimpin-pemimpin lain yang pernah membuat sejarah perjuangan. Kerana boleh dikatakan bahawa semua pemimpin itu hanya berjuang untuk sekelompok manusia atau suatu bangsa yang berada di suatu daerah tertentu sahaja. Dengan objektif dan tujuan tertentu pula. Namun Nabi Muhammad diutuskan untuk memperjuangkan seluruh umat manusia dengan tujuan yang lebih luas pula. Beliau diutus bukan hanya untuk membawa misi yang menghubungkan manusia sesama manusia sahaja, bahkan beliau diutuskan untuk membawa misi yang menghubungkan manusia dengan Tuhannya.