Rukun Puasa

Rukun Puasa

Puasa mempunyai dua rukun asasi iaitu :

  1. Niat puasa.
  2. Menahan diri daripada perkara yang membatalkannya bermula dari terbit fajar hingga tenggelam matahari.

1. Niat
Iaitu kehendak (qasad) melakukan puasa. Tempatnya di hati, tidak cukup dengan hanya melafazkannya dengan lidah dan tidak disyaratkan melafazkannya. Dalil wajib niat ialah sabda Nabi SAW :

إنما الأعمال بالنيات

Sesungguhnya setiap amalan itu dengan niat“.

Niat Puasa Ramadhan

Sekiranya ia adalah niat untuk puasa ramadhan, disyaratkan wujudnya perkara-perkara berikut :

i. Berniat pada waktu malam
Iaitu hendaklah dilakukan qasad (kehendak melakukan puasa) itu pada waktu malam, iaitu sebelum terbit fajar. Sekiranya dia tidak berqasad untuk melakukan puasa kecuali selepas terbitnya fajar maka batallah niat puasanya.

Dalilnya sabda Nabi SAW :

من لم يبيت الصيام قبل طلوع الفجر فلا صيام له

Barangsiapa tidak berniat puasa sebelum fajar maka tidak ada puasa baginya“. (Ad-Daruqutni (2/172), kata beliau ; Para perawinya adalah tsiqah; Al-Baihaqi (4/202)).

ii. Penentuan
Ini dilakukan dengan menetapkan jenis puasa. Dia hendaklah berazam dalam hatinya untuk berpuasa bulan Ramadhan pada esok hari. Sekiranya dia berniat dalam dirinya dengan semata-mata berpuasa (tidak ditentukan jenis puasa), maka niatnya tidak sah. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW yang bermaksud : “Sesungguhnya amalan itu dengan niat“. Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini : “Dan bagi setiap orang itu apa yang telah diniatkannya”. Maksudnya : perbuatannya itu akan mengikut jenis yang telah diqasadkan untuk dilakukan.

iii. Berulang-ulang
Maksudnya dia hendaklah berniat pada setiap malam sebelum terbit fajar untuk puasa hari berikutnya. Tidak cukup dengan satu niat untuk puasa sebulan kerana puasa Ramadhan bukanlah ibadah yang satu. Bahkan ia adalah ibadat yang berulang-ulang dan setiap ibadat itu mesti dikhususkan niatnya yang tersendiri.

Mengenai Puasa sunat, niat tidak disyaratkan pada waktu malam dan tidak perlu ditentukan. Niat, sah dilakukan sebelum tergelincir matahari dan sah juga niat mutlak. Dalilnya ialah hadis Aisyah r.a. :

Pada suatu hari Nabi SAW bersabda padanya : “Apakah kamu mempunyai makanan tengahari?”. Jawabnya : “Tidak”. Sabda Baginda : “Kalau begitu aku berpuasa“. (Ad-Daruqutni).

2. Menahan diri daripada Perkara yang membatalkan Puasa

Perkara-perkara yang membatalkan puasa ialah :

i. Makan dan Minum
Puasa terbatal sekiranya ia makan dan minum dengan sengaja walaupun makanan atau minuman itu sedikit. Sekiranya dia terlupa bahawa dia sedang berpuasa lalu dia makan ataupun minum maka puasanya tidak batal walau berapa banyak dia makan atau minum.

Dalilnya : Hadis Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulallah SAW bersabda :

من نسي وهو صائم فأكل أو شرب فليتم صومه فإنما أطعمه الله وسقاه

Barang siapa yang terlupa bahawa dia sedang berpuasa lalu dia makan ataupun minum maka hendaklah dia menyempurnakan puasanya, sesungguhnya Allahlah yang telah memberinya makan dan minum“.

ii. Sampainya ‘ain (sesuatu ) kedalam al-Jauf (rongga) melalui liang terbuka

Maksud ‘ain ialah sesuatu yang dapat dilihat dengan mata. Maksud al-Jauf ialah otak, ataupun apa yang berada antara bawah halkum hingga ke perut. Maksud liang yang terbuka ialah seperti mulut, telinga, qubul, dubur, sama ada bagi lelaki dan juga wanita.

Oleh itu setitik (air) yang masuk melalui telinga membatalkan puasa kerana ia adalah liang yang terbuka. Setitik (air) yang masuk ke dalam mata tidak membatalkan puasa kerana ia adalah liang yang tidak terbuka.

Suntikan di lubang dubur membatalkan puasa kerana lubang dubur ialah liang yang terbuka.

Suntikan pada urat tidak membatalkan puasa kerana urat adalah liang yang tidak terbuka dan begitulah seterusnya.

Semuanya ini, disyaratkan dilakukan dengan sengaja. Sekiranya perkara ini berlaku dalam keadaan lupa maka ia tidak merosakkan puasanya. Hukum ini diqiyaskan dengan makanan dan minuman.

Sekiranya lalat atau nyamuk atau debu jalan masuk ke dalam al-Jauf, maka puasa tidak terbatal kerana untuk menghindarinya adalah teramat susahز

Sekiranya dia menelan air liurnya, puasa tidak batal kerana susah untuk menghalangnya.

Sekiranya dia menelan air liurnya yang bernajis (seperti gusinya luka lalu mulutnya tidak dibersihkan sekalipun air liurnya bewarna jernih), maka batal puasanya.

Sekiranya dia berkumur atau memasukkan air ke dalam hidung lalu air itu termasuk ke dalam al-Jaufnya, puasanya tidak batal, jika dia tidak melampau dalam memasukkan air sewaktu mengambil wudhuk. Sekiranya air itu masuk kedalam al-Jauf kerana dia melampau sewaktu memasukkan air, maka puasanya batal kerana ia adalah perbuatan yang dilarang sewaktu berpuasa.

Sekiranya terdapat sisa (kesan) makanan di celah-celah giginya lalu ia digerakkan oleh air liurnya tanpa sengaja lalu masuk kedalam perutnya, maka puasanya tidak batal. Ini sekiranya dia tidak mampu untuk membezakannya dengan air liurnya kerana perkara ini ialah perkara yang dimaafkan dan bukan disebabkan sengaja dilakukan. Sekiranya dia mampu membezakanya, maka batallah puasanya kerana ia dilakukan dengan lalai.

Sekiranya dia dipaksa untuk makan atau minum, puasanya tidak batal kerana hukum ikhtiarnya (mempunyai pilihan) sudah gugur.

iii. Muntah dengan sengaja

Muntah dengan sengaja membatalkan puasa sekalipun orang yang berpuasa itu yakin bahawa muntahnya tidak masuk semula ke dalam al-jaufnya walaupun sedikit. Sekiranya dia muntah tanpa sengaja, puasanya tidak batal sekalipun dia tahu bahawa sebahagian daripada muntahnya telah masuk semula ke dalam al-jaufnya tanpa sengaja. Dalilnya ialah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda :

من زرعه قيء يعني من غلبه من غير اختيار فلا قضاء عليه من استقاء يعني طلب خروج ما في جوفه فعليه القضاء

Maksudnya: “Barangsiapa yang muntah tanpa disengajakan (sedangkan dia berpuasa) maka dia tidak perlu mengqadha’kannya dan sekiranya dia muntah dengan sengaja, maka dia hendaklah mengqadha’kan puasanya“. (Dikeluarkan oleh Abu Daud (2380),at-Tirmizi (720) dan selain keduanya).

iv. Bersetubuh dengan sengaja walaupun tanpa keluar mani

Dalilnya ialah firman Allah Taala;

أُحِلَّ لَكُمْ لَيْلَةَ الصِّيَامِ الرَّفَثُ إِلَىٰ نِسَائِكُمْ هُنَّ لِبَاسٌ لَّكُمْ وَأَنتُمْ لِبَاسٌ لَّهُنَّ عَلِمَ اللَّهُ أَنَّكُمْ كُنتُمْ تَخْتَانُونَ أَنفُسَكُمْ فَتَابَ عَلَيْكُمْ وَعَفَا عَنكُمْ فَالْآنَ بَاشِرُوهُنَّ وَابْتَغُوا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَكُمْ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ وَلَا تُبَاشِرُوهُنَّ وَأَنتُمْ عَاكِفُونَ فِي الْمَسَاجِدِ تِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ فَلَا تَقْرَبُوهَا كَذٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ آيَاتِهِ لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ

Maksudnya : “Dihalalkan bagi kamu, pada malam hari puasa, bercampur (bersetubuh) dengan isteri-isteri kamu. Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu mengkhianati diri sendiri, lalu Ia menerima taubat kamu dan memaafkan kamu. Maka sekarang setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu; dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib); dan janganlah kamu setubuhi isteri-isteri kamu ketika kamu sedang beriktikaf di masjid. Itulah batas-batas larangan Allah, maka janganlah kamu menghampirinya. Demikian Allah menerangkan ayat-ayat hukumNya kepada sekalian manusia supaya mereka bertaqwa.”(Al-Baqarah:187)

Maksud fajar ialah cahaya yang terbit dengan terang di ufuk langit dan dengan itu berakhirlah malam dan bermulalah siang.

Sekiranya dia bersetubuh dalam keadaan lupa maka ia tidak membatalkan puasa. Hukum ini diqiyaskan dengan makan dan minum yang terlupa.

v. Al-Istimna’.

Al-Istimna’ ialah mengeluarkan air mani dengan melakukan percumbuan dan sebagainya ataupun dengan menggunakan tangan. Sekiranya orang yang berpuasa sengaja melakukannya maka batal puasanya. Tetapi sekiranya ia berlaku diluar kawalannya, maka puasanya tidak batal. Dengan ini dimakruhkan dengan ‘Makruh Tahrim’ (makruh yang hampir kepada haram) bercium pada siang Ramadhan bagi orang yang cepat naik syahwatnya sama ada lelaki atau wanita kerana ia mendedahkannya kepada merosakkan puasa.

Mengenai orang yang tidak cepat naik syahwatnya, yang utama baginya ialah meninggalkannya demi menutup pintu yang merosakkan puasanya.

Muslim (1106) meriwayatkan daripada Aisyah r.a katanya:

Rasulullah s.a.w telah mencium aku sewaktu Baginda berpuasa. Siapakah dikalangan kamu yang dapat menguasai nafsunya sebagaimana Rasulullah s.a.w menguasai nafsunya“.

Para ulama’ berkata: “Maksud kata-kata Aisyah r.a ialah sepatutnya kamu menjauhi daripada bercium dan jangan menyangka bahawa diri kamu seperti Nabi s.a.w yang boleh melakukannya. Ini kerana Baginda dapat mampu menguasai dirinya dan dapat dijamin apabila Baginda mencium tidak menyebabkan keluarnya air mani ataupun naik syahwat ataupun naiknya nafsu dan seumpanya sedangkan kamu tidak ada jaminan terhadap perkara itu”.

vi. Haid dan Nifas

Haid dan nifas merupakan keuzuran yang menghalang sahnya puasa. Sekiranya wanita yang berpuasa keluar haid atau nifasnya pada sebahagian daripada siang maka batallah puasanya. Dia wajib mengqadha’kan puasa hari tersebut. Al-Bukhari (298) dan Muslim (80) meriwayatkan daripada Abu Sa’id al-Khudri r.a:

Rasulullah s.a.w bersabda tentang wania dan Baginda telah ditanya sebab kurangnya agama bagi wanita: Baginda menjawab: “Bukankah apabila dia sedang haid dia tidak sembahyang dan puasa?“.

vii. Gila dan murtad

Gila dan murtad merupakan penghalang daripada sahnya puasa kerana orang yang berada di dalam keadaan ini tidak mempunyai keahlian (kalayakan) untuk beribadat.

Mereka yang berpuasa wajib menjaga dirinya daripada perkara-perkara yang membatalkan ini agar puasanya sah bermula dari terbit fajar sehingga matahari betul-betul tenggelam. Sekiranya orang yang berpuasa melakukan perkara yang membatalkan ini dengan sangkaan fajar belum terbit, tetapi selepas melakukannya, sangkaannya jelas meleset, maka batal puasanya. Dia hendaklah menahan dirinya (tidak makan,minum dan lain-lain seperti orang yang berpuasa) spanjang siang sebagai menghormati bulan Ramadhan. Dia juga dikehendaki supaya mengqadha’kan puasa tadi.

Begitu juga apabila seseorang berbuka pada akhir siang di waktu petang dengan sangkaan matahari telah tenggelam kemudian terbukti bahawa matahari belum tenggelam, maka batallah puasanya dan dia wajib mengqadha’nya.

Siap ditaip selepas Maghrib,
Seberbay, 14/08/2009. Jumaat.
Ahmad Rushdi dan Mohd Afifi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.