Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada pengunjung. Lama sudah tidak menulis berkaitan pembangunan web ini. Sebabnya dulu ada niat mahu berhenti, namun tidak boleh. Asyik teringat pasal kod dan web.
Oleh kerana kemahiran masih belum hilang, aku cuba untuk menulis dan menajamkan kembali kemahiran membina laman web dan menulis kod untuk tema-tema CMS terutamanya tema wordpress.
Sebenarnya ramai mereka yang mahir dalam perkara sebegini di Malaysia. Sama ada yang bersama-sama dalam kumpulan atau bergerak sebagai individu. Aku memilih untuk bergerak secara individu buat masa ini, kerana ada komitmen lain yang lebih utama.
Mungkin ramai yang pernah membina laman web, atau yang pernah mendengar mengenai HTML. Bagi mereka yang biasa dengan HTML ini akan timbul perasaan teruja apabila menulis sesuatu kod mengikut kehendak mereka. Bagaimana menulis kod dan menghias laman web, pelajar web jenis mana yang digunakan. Ia adalah satu cabaran untuk memaparkan laman web kepada umum.
Sekarang dunia laman web sudah mencapai satu tahap yang tinggi dimana kita selalu kata tanpa sempadan. Bebas untuk berkongsi dan mengakses maklumat dari mana-mana komuniti, dimana sahaja, dan tidak kira masa. Teknologi web adalah satu cara sesebuah komuniti untuk saling berhubung.
Jadi, bagi mereka yang kerjanya membina laman web atau aplikasi web perlu memikirkan cara untuk menarik ramai pengguna dengan antara muka laman yang menarik, ringkas dan pantas. Teknologi kod juga turut berubah dan ditambah baik dari semasa ke semasa.
Pengenalan HTML dan CSS
Setiap laman web memerlukan HTML, tanpa HTML ia tidak dipanggil laman web. HTML digunakan untuk menentukan kandungan pada sesuatu halaman. HTML mula diperkenalkan pada awal 1990, sebagai dokumen ringkas element yang digunakan untuk membina laman web.
Manakala CSS adalah untuk menentukan kandungan dan laman web anda dipaparkan atau dilihat pada pelayar web. Kedua-dua laman HTML dan fail CSS ini didatangkan dalam bentuk teks, supaya mudah untuk mengubahnya mengikut keperluan.
Pengenalan HTML5 dan CSS3
Bagi mereka yang biasa dengan HTML, HTML5 bukan satu perkara yang susah. Ok, HTML5 ini adalah evolusi semulajadi dari HTML yang berusaha untuk menyesuaikan diri pada laman web pada masa depan dengan mewarisi ciri-ciri lama HTML. *macam pelik ayat aku ni! 😛
Disebabkan HTML5 ini mewarisi ciri-ciri HTML, mereka yang biasa dengan HTML sebenarnya sudah tahu HTML5. Juga maksudnya HTML5 ini sesuai untuk pelayar web lama dan baru.
HTML5 juga menambah beberapa perkara baru dan ringkas dalam menyampaikan kandungan seperti article, section, figure, aside dan banyak lagi. Juga memperkenalkan keupayaan memainkan audio dan video pada laman web tanpa tambahan kod asing.
HTML5 juga memperkenalkan kod yang kompleks dalam membina aplikasi web. Kita perlu faham asas HTML5 dalam membina laman web sebelum meneruskan HTML5 kepada aplikasi-aplikasi web, kerana aplikasi web jauh lebih sukar.
InsyaAllah, aku akan cuba menulis mengenai aplikasi web HTML5 ini setelah selesai asas HTML5. Semoga panjang umur.
Seterusnya CSS3, apakah CSS3? CSS3 adalah perkembangan semulajadi juga sepertimana HTML5. CSS3 adalah jauh lebih baik dari versi CSS yang lama kerana memperkenalkan banyak efek baru antaranya adalah bayang-bayang pada teks, bulatan pada bucu, gradient dan banyak lagi efek menarik.
Info – versi pertama CSS tidak wujud selepas beberapa tahun wujudnya HTML. Diperkenalkan secara rasmi pada tahun 1996.
Ok, rasanya cukup sudah pengenalan ringkas mengenai HTML dan CSS ini. Dalam kita cuba untuk belajar, mungkin ada di kalangan kita nak tahu siapa yang cipta HTML dan CSS, dan siapa yang mengembangkan penggunaan HTML dan CSS ini?.
Info Pengasas dan Organisasi
The World Wide Web Consortium (W3C) yang diarahkan oleh pencipta web dan HTML, Tim Berners Lee. W3C adalah organisasi yang bertanggungjawab dalam menjaga pembangunan web mengikut Web Standards. Juga menentukan penyeragaman penggunaan kod pada HTML dan CSS.
Sebahagian spesifikasi HTML5 dan CSS3 masih dalam proses untuk sempurna. Tapi anda boleh menggunakannya dan ia mungkin mengambil masa untuk penyeragaman seluruhnya. Namun, jangan risau tentang hal ini, kerana apa yang ada pada HTML5 dan CSS3 hari ini sudah cukup banyak untuk digunakan. Tamat!
Selesai sudah pengenalan mengenai HTML5 dan CSS3. Terima kasih kerana membaca. Seterusnya aku akan menulis mengenai Asas Halaman HTML. Tunggu!